Bolehkah Menolak Lamaran Lelaki Soleh?

Pakar Cinta, baru-baru ini saya telah menerima lamaran dari seorang ustaz. Namun saya ragu-ragu untuk membuat keputusan. Ini kerana saya telah mempunyai kekasih hati dan walaupun si dia tidak sealim ustaz tersebut, tapi saya yakin si dia adalah yang terbaik untuk saya.

Kami berdua telah mengikat janji untuk berkahwin apabila sampai masanya. Persoalannya, adakah berdosa kalau saya menolak lamaran ustaz tersebut?

Jawapan:

Sebenarnya, jika saudari tidak berhasrat untuk bernikah dengan lelaki soleh tersebut maka tidak berdosa untuk menolak pinangannya  kerana rumahtangga dibangunkan di atas pilihan yang berdasarkan juga kepada kecenderungan hati  iaitu cinta dan bukan sekadar kesolehan lelaki tersebut sahaja.

Oleh itu, tidak diharuskan perempuan itu menerima lamaran itu selagi tiada kecenderungan hati terhadapnya.

Akan tetapi, jika menolak kerana tidak suka dengan keteguhan agama yang dimiiliki lelaki soleh itu, maka berdosalah perempuan itu. Contohnya, tidak suka kerana lelaki itu kuat agama dan merasakan kolot maka boleh dianggap seseorang itu membenci seorang mukmin.

“Apabila datang (meminang) kepadamu orang yang kamu redha agamanya dan akhlaknya maka kahwinilah ia. Jika tidak engkau perbuat (demikian), akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang luas.” – (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Seterusnya, jika jodoh datang menjenguk, cuba saudari lakukanlah dua perkara ini, Istisyarah iaitu berbincang dan Istikharah. Selesai melakukan dua perkara ini barulah bulatkan keputusan.

Jangan sesekali buat keputusan terima mahupun tolak tanpa melakukan dua perkara ini. Adapun lelaki yang sangat baik dan soleh itu, kalau selepas dilakukan dua perkara di atas, masih lagi tak nak terimanya, maka tiada masalah.

Mungkin walau baik sangat pun, tetapi tidak sesuai dengan kita, tak bahagia juga. Bukan semua yg baik itu sesuai belaka. Jika kamu tidak suka lelaki itu, janganlah berlandaskan keteguhan agamanya tetapi berlandaskan perasaan kamu terhadapnya.

Perkara ini lebih merumitkan jika ada pihak yang memaksa, tetapi jika keputusan terletak pada tuan badan, maka buatlah keputusan yang bijak.

Kesimpulannya, jika berlaku seperti keadaan ini, fikir betul-betul dari semua aspek, seperti agama, perasaan, maruah dan jaminan kebahagiaan setelah berkahwin.

Kahwin bukan perkara main-main, ia adalah sunnah Rasulullah SAW yang berat tanggungjawabnya. Bijak kita memilih dan mengatur, Insyaallah anda di kalangan keluarga yang bahagia. InsyaAllah. :)

Tentang Penulis

"Tiada Kalam Yang Lebih Sesuai Untuk Dilafazkan Di Sini, Selain Daripada Syukur Tidak Terhingga Kepada Allah Yang Maha Pengasih, Yang Memberi Kesempatan Untuk Kami Menghasilkan Blog Cinta Yang Difikirkan Amat Bermanfaat Buat Para Ikhwan dan Ikhwanah.."

» Lihat semua kiriman yang dibuat oleh

« Artikel Sebelum Ini

1 Komen Telah Pun Ditulis Buat Masa Ini

  1. [...] isu yang sedang berlaku sahaja, bukannya isu-isu lama yang diungkit kembali. Anda juga tidak perlu mengkritik pasangan anda sama [...]