Erti Kasih Sayang Sesama Manusia

Dalam diri setiap anak Adam, ada Tuhan bekalkan berbagai-bagai jenis perasaan. Perasaan-perasaan ini bersifat batiniah dan tempatnya di dalam hati. Yakni di dalam roh. Salah satu daripada perasaan itu ialah rasa kasih sayang.

Apakah definisi rasa kasih sayang? Rasa kasih sayang ialah cenderung dan tertariknya hati seseorang secara mendalam kepada seseorang yang lain. Atau kepada selain manusia yakni benda-benda dan makhluk-makhluk lain. Atau hati manusia juga boleh jatuh cinta kepada ALLAH tapi ini jarang berlaku.

Di sini kita hendak mengkhususkan tentang kasih sayang sesama manusia. Sebab ianya utama dan penting pada manusia itu sendiri selain mereka mesti cintakan ALLAH yang memang lebih utama dan agung.

Jadi fokus utama untuk dihuraikan secara lebih luas ialah tentang cinta sesama manusia. Berlakunya kasih sayang atau kecenderungan hati yang mendalam oleh seseorang kepada seseorang yang lain ada sebab-sebabnya. Iaitu kerana ada daya tarikan yang menyenangkan dan menenangkan hatinya. Daya tarikan itu ada berbagai-bagai.

Ada yang bersifat semulajadi dan ada yang bersifat `aradhi’ (mendatang). Di antara perkara-perkara yang menarik hati manusia kepada manusia lain ialah kecantikan, ilmu, kepimpinan, jasa, hubungan darah, kekuatan, akhlak dan lain-lain. Kerana faktor-faktor inilah manusia tertarik dengan manusia yang lain. Maka tumbuhlah rasa kasih sayang sedikit demi sedikit hingga mendalam. Bila rasa itu kian mendalam, ia disebut cinta. Bila cinta sudah mendalam, seseorang itu akan jadi asyik mahsyuk atau mabuk cinta. Ada orang, kerana tidak boleh lagi kontrol cintanya, terus menjadi gila.

Dengan perasaan kasih sayang, seseorang akan menumpukan perhatian, perasaan dan jiwa raganya kepada orang yang disayanginya. Bermacam-macam pengorbanan akan dibuat terhadap kecintaannya. Tidak ada rasa susah padanya dalam usaha-usaha dan pengorbanan itu, walaupun orang lain melihatnya susah sekali dan keterlaluan. Seorang wanita sanggup lari meninggalkan keluarga demi cinta kepada lelaki calon suaminya. Dia rela menghadapi risiko dihina dan dibenci oleh keluarga dan masyarakat.

Sebagaimana sebab-sebab tumbuhnya kasih sayang itupun berbagai-bagai maka sifat dan kesan kasih itu juga berbeza-beza. Bergantunglah kepada siapa dan mengapa kasih itu tumbuh. Kasih kepada ibu bapa tidak sama dengan kasih pada isteri-isteri. Kasih kepada anak-anak tidak sama dengan kasih pada kawan. Kasih pada guru tidak sama dengan kasih pada saudara-mara. Kasih pada pemimpin tidak sama dengan kasih pada pengikut. Kasih pada bangsa tidak sama dengan kasih pada harta. Kasih pada agama tidak sama dengan kasih kepada bangsa. Maha Suci ALLAH yang menciptakan dalam ruang seketul hati yang sempit itu rasa kasih yang berbagai sifat dan rupanya!

Akibat berbeza sifat dan rupanya, maka berbeza pula kesan dan akibat kasih itu. Ada kasih sayang yang kekal dan bertambah di dalam hati. Ia tidak diganggu atau dicacatkan oleh rasa jemu dan hambar kecuali dengan sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun ada kasih sayang yang dirosakkan oleh rasa jemu dan benci. Maka ia tidak kekal bahkan berkurang dan mungkin hilang.

Kasih pada pemimpin membuatkan seseorang pengikut menyerahkan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi. Kasih pada pengikut membuatkan seseorang pemimpin berkorban memberi khidmat dan kasih sayang tanpa sebarang kepentingan dan rasa letih serta jemu. Kasih kepada isteri membuatkan suami bersifat bertanggungjawab. Manakala kasih pada suami menjadikan isteri sedia taat, patuh dan melayan suami sesungguh hati.

Kasih pada guru membuatkan murid gigih belajar dan mengamalkan ajarannya. Manakala kasih pada murid menjadikan guru-guru hilang letih untuk mendidik dan mengajar hingga muridnya berjaya. Kasih pada ibu bapa membuatkan anak-anak sangat menjaga hati orang tuanya. Manakala kasih kepada anak-anak menjadikan ibu bapa rela berbuat apa saja untuk anak-anaknya.

Demikianlah kesan adanya kasih sayang. Ia membuatkan manusia seperti terikat satu sama lain. Lalu akan saling memberi dan menerima secara suka dan rela. Orang yang saling menyayangi rasa bersalah kalau tidak dapat memberi kasih sayang walau dalam apa bentuk sekalipun. Berkorban dan bersusah-susah untuk yang disayangi adalah kebahagiaan, kepuasan dan hiburan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tentang Penulis

Cinta yang ikhlas dapat menjamin kehidupan yang lebih ceria dan bahagia tetapi cinta yang tidak disulami dengan kasih sayang akan mendatangkan derita pada diri. Walau bagaimanapun, kehadiran cinta amat penting dalam hidup kerana ia mampu menjadi pendorong dalam melakukan aktiviti seharian, seterusnya membuatkan diri anda sentiasa cergas, sihat dan gembira.

» Lihat semua kiriman yang dibuat oleh

« Artikel Sebelum Ini

1 Komen Telah Pun Ditulis Buat Masa Ini